Berfikir Secara Logikal Dan Kritikal

PTS

Berfikir Secara Logikal dan Kritikal
oleh Helmi pada 28 Sep 2004
Kebanyakan orang tidak menyangka bahawa apa yang disebut `logik’ adalah ciptaan manusia, oleh itu berfikir secara logikal bukan sifat semula jadi manusia. Berfikir secara logikal seperti yang kita amalkan pada hari ini adalah warisan daripada tradisi berfikir di Barat yang kita warisi daripada Barat yang diperkenalkan oleh kuasa penjajah Inggeris melalui sistem pendidikan negara ini.

Berfikir secara logikal adalah sesuatu yang dipelajari di sekolah, oleh itu seseorang yang tidak bersekolah tidak belajar pemikiran logikal. Semakin lama seseorang itu belajar di sekolah dan di universiti semakin dia mahir berfikir secara logikal. Di kalangan orang biasa, mereka menganggap individu yang mahir berfikir secara logikal adalah individu yang lebih pintar daripada mereka yang kurang pandai. Pada masa ini juga ada semacam sangkaan sesuatu yang logikal tentulah juga ia betul. Sangkaan inilah yang menyebabkan masyarakat amat menghargai logik dan kemahiran berfikir secara logikal. Kemahiran berfikir secara logikal adalah penting dan banyak manfaatnya, tetapi itu tidak bermakna pemikiran logikal tidak mempunyai kecacatan dan kelemahannya.

Tradisi pemikiran logik Barat didirikan oleh tiga orang tokoh falsafah Yunani yang terkenal dan berpengaruh sehingga hari ini, iaitu Socrates, Plato dan Aristotle. Socrates hidup antara 399 SM hingga 469 SM. Beliau dihukum mati dengan meminum racun hemlok oleh pemerintah Athens waktu itu atas tuduhan pemikiran-pemikiran beliau meracuni generasi muda. Beliau tidak pernah menghasilkan sebarang karya tetapi pengaruh beliau begitu besar dan kekal sehingga hari ini. Melalui siri percakapannya dengan cendekiawan sezaman, di mana Socrates berjaya menyampaikan pemikiran-pemikirannya kepada mereka. Antara mereka ialah Plato dan Aristotle, yang masing-masing banyak menghasilkan karya. Plato kini diiktiraf sebagai pendiri tradisi pemikiran Barat, manakala Aristotle diiktiraf sebagai pendiri pemikiran logik. Sumbangan Socrates dalam bidang falsafah dan pemikiran hanya diketahui melalui tulisan-tulisan Plato. Plato sangat terpengaruh oleh kaedah-kaedah berfikir yang dicipta oleh Socrates. Karya Plato yang paling berpengaruh ialah Republik dan Gorgias. Matlamat kaedah Socrates berfikir ialah `mencari kebenaran dengan bertanya soalan.’ Ditambah dengan kaedah Plato dan kaedah Aristotle, ia menjadi asas kaedah pemikiran Barat. Sebagai seorang hali falsafah, Socrates sangat mengutamakan `etika.’ Dengan demikian beliau berusaha mendirikan standard dan definisi mantap bagi perkara-perkara seperti `keadilan.’ Tujuan beliau ialah mencegah orang lain daripada menolak idea-ideanya.

Cara Socrates mendirikan standard dan definisi ialah dengan mula-mula mengemukakan peraturan am. Kemudian seorang lain menyoal kebenaran peraturan itu dengan mengemukakan contoh yang bertentangan. Dengan itu suatu peraturan yang lebih baik akan terhasil. Kemudian, suatu contoh lain yang ber-tentangan akan dikemukakan lagi. Dan begitulah seterusnya. Sebagai contoh:

Socrates: Apakah definisi `keadilan’?

Jawapan: `Keadilan’ ialah memberikan kepada yang empu-nya, apa yang menjadi haknya.

Socrates: Katakanlah, anda meminjam pisau daripada seseorang. Kemudian dia diserang penyakit gila dan menjadi ganas. Patutkah kamu kembalikan ke-padanya pisau itu?

Socrates menggunakan contoh-contoh yang bertentangan se-perti di atas bagi membuktikan kebenaran. Satu contoh yang bertentangan akan membatalkan sesuatu definisi. Menurut Aristotle, sumbangan terbesar Socrates dalam kaedah berfikir ialah beliau mencipta induksi dan mencipta definisi-definisi am. Menggunakan kaedah induksi, kita menggunakan sejumlah contoh, daripada contoh-contoh itu kita sedut ciri-ciri am yang terdapat di dalamnya. Pada masa sekarang kaedah ini digunakan dalam bidang-bidang sains yang menggunakan klasifikasi, seperti bidang botani dan zoologi. Socrates menggunakan contoh seperti berikut:

Socrates: Kalau kamu hendak memilih seorang nakhoda, bukankah kamu pilih orang yang paling mahir dalam ilmu pelayaran?

Jawapan: Ya.

Socrates: Kamu tidak akan memilih nakhoda dengan cara mengundi, bukan?

Jawapan: Ya.

Socrates: Kamu juga akan memilih olahragawan terbaik berdasarkan prestasi mereka, bukan begitu?

Jawapan: Ya.

Socrates: Kamu tidak akan memilih olahragawan terbaik dengan cara mengundi, bukan begitu?

Jawapan: Tentu sekali tidak.

Socrates: Kamu pun tentu akan memilih pemimpin ber-dasarkan kebolehan mereka, bukan dengan cara mengundi, bukan?

(Pada zaman itu, dalam sistem politik di Athens, pemerintah terdiri daripada Majlis Perwakilan yang terdiri daripada 500 orang yang dipilih secara undian.) Apabila diteliti, soalan-soalan Socrates bukanlah `soalan’ dalam erti kata yang sebenar, sebalik-nya soalan-soalan beliau ialah ayat-ayat penyata yang diberi soalan ekor seperti `bukan?’ Intipati kaedah berfikir ciptaan Socrates, Plato dan Aristotle ialah `mencari kebenaran.’ Ke-benaran ialah apa yang termasuk dalam sesuatu definisi. Penilaian ialah aktiviti bagi menentukan apa yang boleh di-terima ataupun yang patut ditolak oleh sesuatu definisi. Socrates sangat mengutamakan definisi. Tradisi pemikiran Barat semacam menggilai definisi. Semuanya mesti bertolak daripada definisi. Definisi ialah pengelompokan ciri-ciri yang perlu ada. Sebagai contoh, Socrates menghadapi masalah besar yang beliau tidak dapat selesaikan iaitu sama ada beliau patut memasukkan `pengetahuan’ ke dalam definisi `keberanian.’ Antara per-timbangan yang menyukarkan Socrates ialah:

1. Orang yang berani pergi menentang musuh kerana dia tidak mengetahui kekuatan sebenar musuhnya tidaklah boleh didefinisikan sebagai orang yang `berani.’

2. Kalau dia tahu musuhnya sangat kuat, tetapi dia tetap pergi menentang musuhnya itu, barulah boleh dikatakan sifat keberaniannya yang mendorong perbuatannya itu.

3. Kalau dia tahu kekuatan musuhnya adalah lebih kecil dari-pada kekuatannya sendiri, kalau dia pergi menentang musuhnya itu, dia tidak boleh dikatakan mempunyai ke-beranian yang tinggi.

4. Kalau dia tahu jumlah musuhnya kecil tetapi mereka me-miliki senjata berbahaya, kalau dia pergi juga, barulah dia boleh disifatkan seorang yang berani.

Jadi, dalam contoh di atas Socrates sukar memutuskan sama ada pengetahuan patut dijadikan ciri keberanian ataupun tidak, kerana beliau dapat melihat bahawa ada pengetahuan yang menjadi ciri keberanian dan ada pengetahuan yang tidak men-jadi ciri keberanian.
Tradisi pemikiran Barat yang menjadikan kebenaran sebagai matlamat berfikir sangat mengutamakan persoalan `apa’ dan `ialah.’ Kebenaran ialah sesuatu yang diyakini sudah sedia ada. Dan hanya ada SATU kebenaran. Ia hanya perlu ditemui dan dihuraikan. Kebenaran bukanlah sesuatu yang belum ada dan masih menunggu bagi dicipta. Socrates yakin pengetahuan ialah kebenaran. Orang akan melakukan kesilapan apabila dia tidak memiliki pengetahuan. Orang yang jahil akan melakukan ke-silapan. Orang yang berilmu tidak akan melakukan kesilapan kerana dia memiliki maklumat yang akhirnya memberitahu apa yang benar. Bagi membolehkan seseorang menghindari kesilapan, dia perlu menemui kebenaran. Bagi menemui ke-benaran dia menggunakan kaedah induksi dan definisi.

Matlamat kaedah Socrates adalah bagi menemui `kebenaran.’ Ini dilakukan dengan cara mencipta definisi yang menggambar-kan kebenaran yang dicari itu. Dalam proses membuat definisi, beliau membuat penilaian bagi menentukan sama ada sesuatu itu boleh diterima ataupun patut ditolak oleh definisi tersebut. Perbuatan menerima ataupun menolak ialah tindakan yang mengikuti penilaian. Jikalau pada penilaian beliau sesuatu tidak secocok dengan definisinya, hal itu ditolak; jikalau ia secocok, hal itu diterima. Oleh yang demikian, di satu hujung ada suatu keadaan, dan di satu hujung lagi ada tindakan yang perlu dibuat. Di tengah-tengah ialah definisi dan penilaian yang mengaitkan keadaan kepada tindakan. Operasi kaedah berfikir Socrates boleh disimpulkan kepada empat langkah seperti berikut:

1. Buat definisi.

2. Anggap definisi itu benar dan mutlak.

3. Nilaikan sesuatu berdasarkan definisi itu.

4. Ambil tindakan yang selari dengan definisi tersebut.

Sebagai contoh:

1. Definisikan apa itu `kejujuran.’

2. Anggap definisi itu benar dan mutlak.
3. Nilaikan seseorang sama ada dia jujur ataupun tidak.

4. Kalau dia jujur, terima sebagai sahabat, kalau dia tidak jujur, pandang dia dengan curiga.

Penilaian berfungsi bagi mengesahkan sesuatu definisi. Ia juga digunakan bagi menolak apa-apa yang tidak sesuai dengan defi-nisi itu. Apa yang sesuai ialah kebenaran. Apa yang tidak sesuai bukan kebenaran. Kaedah berfikir seperti ini disebut pemikiran vertikal oleh Edward de Bono. Berfikir dengan matlamat akhir-nya untuk membuat penilaian mempunyai beberapa kelemahan.

1. Ia bersifat reaktif, ertinya ia menanti ada idea dikemuka-kan kemudian barulah ia dapat digunakan bagi menilai idea tersebut.

2. Ia menilai sama ada sesuatu idea boleh diterima oleh definisi yang ada ataupun patut ditolak. Oleh itu ia suka mengkritik idea. Ia tidak berminat mencipta idea.

Oleh kerana definisi-definisi yang ada bersifat standard, serupa dan mantap, keadaan ini menyebabkan si penilai melihat idea-idea baru dengan cara-cara lama, tidak fleksibel dan sempit. Ini bertentangan dengan idea-idea baru yang bersifat men-jelajah, menukar dan mempelopori.Intipati kaedah berfikir ciptaan Socrates ialah mencari kebenaran. Pencarian itu di-jalankan dengan cara membuang apa yang bukan kebenaran. Menggunakan kaedah ini seseorang itu percaya, bagi menjadi pemikir yang berkesan, sudah cukup jikalau kita mahir me-misahkan antara apa yang benar daripada apa yang tidak benar. Cuba bayangkan bagaimana orang melombong bijih. Dia meng-ambil campuran pasir yang mengandungi bijih timah. Kemudian dia mencuci campuran itu bagi membuang semua pasir dan kotoran-kotoran lain, supaya dia dapat menemui bijih timah yang dicarinya. Proses ini mudah sekali. Bagi menemui bijih timah, buang semua yang bukan bijih timah. Bagi menemui kebenaran, buang semua yang bukan kebenaran. Baju anda bersih. Tiba-tiba baju itu terkena kuah lauk. Apakah yang perlu anda lakukan? Cuci kekotoran itu. Baju anda akan bersih semula.

Socrates terkenal kerana kepintarannya menentang dan membelasah sebarang idea ataupun definisi yang dikemukakan kepadanya. Beliau seolah-olah yakin berfikir ialah aktiviti membuktikan sesuatu idea ataupun definisi adalah salah. Beliau melakukan itu dengan tujuan mencari kesilapan, kekeliruan dan andaian-andaian yang salah yang terkandung di dalam idea ataupun definisi itu. Beliau seperti percaya, mencari dan mem-buktikan kesalahan ialah tujuan akhir berfikir. Cara beliau membuktikan kesalahan orang lain berfikir ialah dengan menggunakan penyangkalan. Beliau sangat gemar menyangkal idea dan definisi yang dikemukakan oleh rakan-rakannya. Bagi menyangkal, beliau mencari contoh-contoh yang bertentangan dengan idea mereka. Beliau akan menyangkal semua idea, termasuklah idea-idea yang masuk akal. Beliau sanggup mencari contoh-contoh yang terkeluar daripada keadaan biasa, seperti contoh perbuatan `memulangkan pisau kepada orang gila.‘Oleh kerana pintarnya Socrates mencari contoh demi contoh bagi menyangkal idea-idea orang lain, akibatnya, beliau pun tidak dapat membuat kesimpulan berkenaan apa yang beliau fikirkan. Nampaknya, Socrates seperti tidak menganggap berfikir perlu menghasilkan kesimpulan. Beliau seolah-olah lebih meng-utamakan proses berfikir itu sendiri daripada hasil berfikir. Asal sahaja cara berfikirnya betul, itu sudah cukup. Soal ada atau-pun tidak hasilnya, itu tidak penting bagi Socrates. Ataupun barangkali bagi beliau, hasil berfikir yang sepatutnya dicapai ialah `apa yang orang lain fikir adalah salah.’ Sebagai pemikir Socrates melihat dirinya berfungsi seperti pedang pancung. Setiap idea mesti lalu di bawah pedangnya. Jikalau beliau gagal memancung idea itu, barulah idea itu boleh diterima sebagai sudah menemui kebenaran. Sebarang kebenaran mesti lulus ujian pedang pancung beliau. Pedang itu ialah contoh-contoh yang menyangkal idea tersebut.
Kebudayaan intelektual Barat hingga hari ini memberi status yang tinggi kepada kaedah berfikir yang didirikan oleh Socrates dan dua orang rakannya, Plato dan Aristotle. Ramai yang beranggapan kemahiran berfikir secara kritikal ialah puncak pencapaian intelek. Adalah tidak masuk akal jikalau kita percaya sesuatu kaedah berfikir yang matlamatnya ialah membuktikan orang lain salah dapat diberi kemuliaan yang begitu tinggi di Barat, tetapi inilah hakikatnya. Perkara yang serupa juga berlaku di kalangan orang-orang akademik dan intelektual kita. Mereka sangat mahir membuktikan idea-idea orang lain salah.

Socrates yakin dengan mencari dan membuang apa yang salah, beliau dapat menemui kebenaran. Menurut beliau, penge-tahuan ialah kebenaran. Kaedah penyangkalan yang beliau cipta menghasilkan cara berfikir yang sentiasa bertentangan. Ini mencipta cara berfikir yang argumentatif, berkonkflik dan ia mencipta tradisi berbahas, berkonflik serta bermusuhan. Dari-pada satu segi, kaedah berfikir ciptaan Socrates ialah kaedah `belasah.’ Beliau percaya membelasah sesuatu idea demi mencari kebenaran ialah kaedah berfikir yang betul. Beliau yakin perbuatan membelasah idea-idea orang lain akhirnya akan men-dedahkan kebenaran yang dicari-cari. Cara berfikir yang dimula-kan oleh Socrates mencipta tradisi berfikir secara argumentatif. Argumentasi kini menjadi ciri utama budaya berfikir Barat. Di negara ini, budaya argumentasi ini dipelajari daripada Barat dan kita jadikannya budaya berfikir kita di negara ini. Pentadbiran Inggeris memperkenalkan budaya argumentasi ini ke dalam sistem pendidikan kita. Kita juga menghantar ramai pelajar ke Barat di mana mereka mempelajari tradisi itu di sana bagi di-bawa pulang lalu dikembangkan di sini. Hasilnya, setiap sekolah mempunyai pasukan bahas atau debat, dan mereka menganjur-kan peraduan-peraduan bahas. Di negara ini peraduan bahas diadakan hingga ke peringkat antara universiti dan antara-bangsa. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia umpamanya menubuhkan suatu jabatan khas bagi melatih pasukan bahas-nya. Hadiah bahas yang paling tinggi ialah `Piala Perdana Menteri.’ Ibu bapa bangga apabila mempunyai anak yang pintar berbahas. Cara berfikir yang argumentatif, berkonflik dan ber-tentangan ini sudah menjadi budaya berfikir dalam ceramah politik, di parlimen, di mahkamah, dalam mesyuarat, di kedai kopi dan dalam bilik tidur. Namun tradisi berfikir secara argu-mentatif ini bukan ajaran Islam. Berfikir dengan tujuan membuktikan orang lain salah juga bukan tradisi budaya kita.

Argumen ialah intipati logik Barat yang disebut dengan istilah dialektika. Dalam tradisi dialektika, apabila berfikir mesti ada dua pihak. Satu pihak mengemukakan idea, satu pihak lagi membelasah idea itu bagi membuktikan ia salah, keliru dan andaian-andaian di sebaliknya tidak betul. Di dalam dialektika, ada tesis dan ada antitesis. Pertentangan antara kedua-duanya dipercayai akan menghasilkan sintesis. Tesis ialah idea ataupun cadangan yang dipercayai benar. Antitesis ialah idea yang ber-tentangan dengan tesis itu. Pertarungan antara tesis dan anti-tesis dipercayai akan menerbitkan sintesis iaitu gabungan antara tesis dan sintesis yang melahirkan idea baru yang lebih baik. Jangkaan ini jarang sekali berlaku. Perdebatan dan konflik membuat pihak-pihak yang terlibat lebih berdegil dengan idea masing-masing. Socrates, Plato dan Aristotle mempunyai ke-yakinan tebal pada dikotomi, polariti dan pertentangan. Segala-galanya dilihat dan dibahas daripada dua sudut yang saling bertentangan. Kepercayaan mereka itu menjadi asas kaedah berfikir yang mereka cipta. Segalanya terdiri daripada dua belah: YA/TIDAK, BENAR/SALAH. Kalau bukan YA tentu TIDAK, kalau bukan BENAR tentu SALAH. Berdasarkan falsafah ini mereka percaya dengan membuktikan sesuatu itu salah, mereka dapat menemui apa yang benar. Hujah-hujah di dalam perdebatan adalah usaha bagi membuktikan pihak yang satu lagi SALAH demi mencari pihak yang BENAR. Di dalam kehidupan sebenar, kita biasa berjumpa dengan keadaan di mana kedua-dua pihak adalah salah, ataupun kedua-dua pihak adalah benar.
Mengikut de Bono apa yang disebut ‘kebenaran’ dapat di-kategorikan ke dalam tiga jenis:

Kebenaran Pengalaman

Kebenaran jenis ini ditentukan oleh apa yang pernah dialami oleh seseorang. Seseorang itu percaya sesuatu itu benar kerana dia pernah mengalami kebenaran itu. Jikalau ada orang lain mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan pengalamannya, dia katakan pengalaman orang itu tidak benar. Berfikir secara induktif adalah berfikir berdasarkan pengalaman. Oleh itu induksi ialah intipati sejumlah peng-alaman. Kebenaran pengalaman disebut kebenaran persepsi. Persepsi seseorang ditentukan oleh pengalaman peribadi-nya. Rumusan-rumusan sains adalah kebenaran jenis ini kerana ia adalah berdasarkan pengalaman si saintis, iaitu me-lalui proses pemerhatian yang mereka jalankan. Selagi seseorang itu tidak beranggapan kebenaran jenis ini sebagai kebenaran mutlak, kebenaran ini mempunyai banyak faedah dan kegunaannya. Harus diingat, kebenaran pengalaman tidak mungkin mutlak kerana alat deria manusia dapat di-perdaya. Sebagai contoh, mata kita melihat gambar bergerak pada kaca televisyen, sedangkan itu tidak benar. Gambar-gambar itu tidak bergerak. Ia adalah gambar-gambar mati. Pengalaman manusia juga sentiasa terbatas. Kalau seseorang itu hanya pernah melihat gagak hitam, dia percaya semua gagak adalah hitam. Tetapi kalau dia pernah melihat ada gagak putih, dia tidak percaya semua gagak berwarna hitam. Disebabkan `kebenaran sains’ sebenarnya adalah ke-benaran pengalaman, oleh itu kebenaran sains itu tidak mungkin bersifat mutlak. Banyak perkara tidak mungkin dapat dibuktikan kebenarannya dengan menggunakan kaedah sains Barat sebagaimana yang diamalkan pada hari ini, sebagai contoh sehingga hari ini sains masih tidak dapat menerangkan apa itu yang disebut `nyawa.’ Banyak perkara yang pada satu masa dahulu dianggap benar oleh sains terbukti didapati salah oleh sains hari ini.
Kebenaran Ciptaan

Manusia mencipta kebenaran. Apabila anda bermain bola, anda mematuhi peraturan-peraturan permainan itu kerana peraturan-peraturan tersebut adalah `benar’ bagi permainan bola. Peraturan-peraturan permainan bola ialah suatu contoh kebenaran ciptaan manusia. Contoh kebenaran ciptaan manusia yang paling bagus ialah peraturan-peraturan matematik. Ramai orang tidak menyangka bahawa matematik sebenarnya adalah ciptaan manusia. Semua orang boleh mencipta kebenaran jenis ini. Apabila anda mencipta suatu permainan baru, anda mencipta peraturan-peraturannya dan oleh hal yang demikian anda sudah mencipta kebenaran jenis ini. Kebenaran jenis ini hanya benar dalam konteksnya sahaja. Peraturan matematik hanya betul dalam konteks matematik. Kebenaran yang mengatakan dua garis selari tidak akan bertemu hanya betul dalam konteks permukaan terhampar. Dua garis selari pada sfera dapat bertemu. Logik yang kita gunakan hari ini adalah ciptaan Socrates, Plato dan Aristotle, dan ia adalah sejenis kebenaran ciptaan manusia.

Kebenaran Akidah

Apa yang dimaksudkan dengan istilah kebenaran `akidah’ ialah apa-apa kebenaran yang berdasarkan kepada kepercayaan seseorang. Kebenaran jenis ini sangat besar dan mendalam pengaruhnya pada pemikiran seseorang. Kebenaran akidah ialah sesuatu yang sudah kita percayai. Kita mungkin percaya `pontianak’ wujud. Ini adalah contoh kebenaran akidah. Kita mungkin percaya kolesterol menyebabkan serangan jantung, ini pun kebenaran akidah. Kita percaya sembahyang menjauhkan maksiat, inipun kebenaran akidah. Sesuatu itu benar, kerana akidah kita percaya ia benar. Di dalam tradisi pemikiran Barat ada apa yang disebut hipotesis dan teori. Hipotesis dan teori ialah kebenaran akidah yang sementara. Ia hanya benar sementara hipotesis dan teori itu belum dibuktikan salah. Apabila seseorang itu mempercayai sesuatu teori itu benar, dia percaya teori itu benar disebabkan akidahnya yang percaya begitu, meskipun teori itu mungkin salah. Kebenaran akidah mempunyai kuasa pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan kerana ia menstrukturkan cara hidup kita, ia menjadi asas nilai-nilai yang dijadikan pegangan dan ia mempengaruhi segala keputusan yang diambil. Ahli-ahli sains Barat percaya teori evolusi adalah benar, tetapi kepercayaan mereka itu adalah kebenaran akidah.

 

Logik Batu

Dr. Edward de Bono mengatakan, cara orang-orang Barat berfikir boleh disebut sebagai cara logik batu atau logik kotak. Dalam tradisi Yunani, kebenaran ialah apa yang boleh masuk ke dalam sesuatu `kotak.’ Yang disebut kotak ialah pelbagai definisi, kategori dan generalisasi. Penilaian ialah aktiviti menentukan sama ada sesuatu idea itu boleh masuk mana-mana kotak ataupun tidak. Kalau ia boleh masuk, idea itu dinilaikan sebagai BETUL. Kalau ia tidak boleh masuk, idea itu dinilaikan sebagai SALAH. Logik batu adalah berdasarkan kotak-kotak. Dalam logik ini soal perbezaan adalah penting. Ia menentukan di mana tepi sesuatu kotak.

Adakah ini `A’ ataupun `B’?

Adakah ini `hitam’ ataupun `putih’?

Adakah ini `wajib’ ataupun `sunat’?

Adakah ini `semut’ ataupun `kerengga’?

Banyak perbincangan bertujuan hendak membuat pembezaan-pembezaan begitu. Logik batu tidak dapat beroperasi tanpa kotak-kotak itu kerana tiap-tiap perkara mesti masuk pada kotaknya yang betul. Sistem penilaian menggunakan logik kotak. Klasifikasi adalah berdasarkan logik batu. Setiap `kelas’ adalah satu `kotak.’

Sesetengah sains adalah berdasarkan logik kotak, umpamanya sain botani. Salah satu ciri utama pemikiran tradisional ialah pada penggunaan kotak-kotak penilaian. Itulah sebabnya pemikiran tradisional gemar menggunakan perkataan `mesti’, `semua’, `memang’, `sentiasa’, `mustahil’, `tidak ada’, `betul’, `salah’ dan banyak lagi. Perkataan-perkataan seperti itu adalah kotak-kotak yang digunakan bagi menilai. Dalam pemikiran tradisional ada dikotomi di mana-mana.

BETUL _ SALAH

BERSALAH _ TIDAK BERSALAH

HITAM _ PUTIH

SAINS _ BUKAN SAINS

Gaya berfikir tradisional mementingkan deskripsi atau huraian. Apa itu `botol?’ memerlukan huraian benda yang disebut `botol.’ Definisi ialah sejenis deskripsi. Kita sangka kalau kita tahu `apa’, selepas itu baru kita bertindak melakukan sesuatu. Analisis ialah kerja-kerja yang kita lakukan bagi menghasilkan huraian. Analisis yang lebih terperinci menghasilkan huraian yang lebih terperinci.

Logik tradisional sangat mementingkan `penemuan.’ Itulah sebabnya ia berobsesi dengan soalan `Apa?’ Cuba saudara fikirkan, adakah seorang tukang masak mencari penemuan ataupun menghasilkan ciptaan? Begitu pula, adakah gubahan muzik suatu penemuan, ataupun suatu ciptaan? Sebuah rumah, adakah ia ditemui ataupun ia dibuat? Pemikiran tradisional sangat mementingkan aktiviti `mencari’, `menganalisis’, `membuktikan’, `menghuraikan’, dan `menemui kebenaran.’ Sebaliknya, pemikiran paralel menumpukan perhatian pada kegiatan `desain.’

Penemuan adalah penting. Penemuan membawa banyak kemajuan pada perkembangan ilmu pengetahuan, terutama dalam bidang sains. Banyak daripada penemuan itu digunakan bagi mencipta teknologi-teknologi baru. Ramai orang menyangka teknologi berada di belakang penemuan sains. Ertinya, kalau tidak ada sains, tidak ada teknologi. Berdasarkan salah sangka seperti itulah maka hari ini sistem pendidikan mengajarkan sains tetapi tidak mengajarkan teknologi. Mereka menyangka kalau ada sains, teknologi adalah perkara mudah. Kebanyakan orang tidak tahu bahawa manusia sudah mencipta teknologi beribu-ribu tahun sebelum manusia mengetahui sains. Sains sebagaimana yang kita ketahui hari ini baru berusia sekitar 300 tahun.Pemikiran Barat sangat mementing definisi. Definisi ialah cara mereka hendak mencari kepastian. Tanpa kepastian, kita tidak dapat membuat penilaian dan keputusan. Definisi menolong kita membuat penilaian. `Gagak berwarna hitam’, jadi apabila kita nampak burung yang berwarna putih, kita pun membuat penilaian, di sini berdasarkan definisi itu pasti ia bukan gagak. Kalau kita berkata, “Ada gagak hitam dan mungkin ada gagak putih,” kata-kata begitu menyebabkan definisi `gagak berwarna hitam’ tidak berguna lagi bagi membuat penilaian.

Kita memerlukan definisi kerana kita perlukan kepastian. Kita perlukan kepastian kerana kita perlu menilai dan membuat keputusan. Mahkamah mesti menilai dan membuat keputusan sama ada yang dituduh bersalah ataupun tidak. Mahkamah mesti pasti. Mahkamah tidak boleh menghukum orang yang tidak bersalah. Kita mesti pasti bahawa sembahyang kita sah ataupun tidak sah. Para doktor mesti pasti diagnosis mereka betul.

Logik Barat ialah suatu sistem urutan. Sistem ini bergerak dari satu titik ke titik yang ada di depannya. Ia bergerak langkah demi langkah. Tiap-tiap langkah mesti betul. Kerja menyusun bata sehingga menjadi dinding ialah kerja yang dibuat secara berurutan. Bata pertama diletakkan, bata kedua diletakkan di atas bata pertama, bata ketiga diletakkan di atas bata kedua. Kerja menjahit adalah kerja berurutan. Jarum bergerak daripada mata pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga jahitan itu tamat. Membuat rantai pun begitu juga. Mula-mula ambil mata pertama. Mata kedua disangkutkan pada mata pertama. Mata ketiga disangkutan pada mata kedua dan seterusnya.

Penilaian berfungsi seperti seorang panjaga pintu masuk. Apa-apa sahaja yang sampai ke otak kita, akan diperiksa dulu oleh si penjaga pintu. Ia mesti diperiksa dulu betul ataupun salah. Kalau betul baru diterima. Kalau salah ia mesti ditolak. Penilaian berfungsi sebagai pintu keselamatan yang ketat pada sebuah kompleks bangunan. Sistem itu mesti ketat, sebab apabila ada orang yang dibenarkan masuk bangunan itu, dia boleh berjalan-jalan dengan bebas di dalamnya. Orang yang terlepas itu mungkin orang baik tetapi mungkin juga orang jahat. Ertinya, sekali sesuatu idea dianggap `betul’ ia tidak kita periksa lagi. Penilaian adalah penting. Ada masanya kita mesti membuat penilaian. Yang patut difikirkan semula ialah bila masanya kita patut membuat penilaian? Adakah kita mesti serta-merta menilai setiap kali kita mendengar apa-apa idea. Dalam logik tradisional, itulah yang berlaku. Segala sesuatu mesti dikenakan penilaian: apakah ia betul ataupun salah? Apabila tiba masanya untuk menilai, kita patut menilai. Tetapi apa gunanya kita menilai kalau tidak ada idea yang hendak dinilai. Apa gunanya tali kalau tidak ada apa yang hendak diikat. Itulah sebabnya logik tradisional tidak cukup bagi keperluan manusia kerana ia adalah logik penilaian. Ia bukan logik penciptaan.

Pemikiran tradisional mempunyai kegunaannya. Pertama, ada kalanya kita mesti menilai dan membuat pilihan serta keputusan. Pada masa itu kita perlu berfikir secara tradisional. Tetapi berfikir dengan satu cara sahaja tidak cukup. Ia umpama bermain golf dengan satu pemukul sahaja, ataupun memandu kereta menggunakan satu gear sahaja. Jari telunjuk ada gunanya, tetapi menggunakan satu jari telunjuk sahaja tidak cukup.

Pemikiran tradisional mempunyai kekurangannya. Ia tidak boleh digunakan bagi menerbitkan pelbagai idea. Ia tidak menerbitkan pelbagai hasil disebabkan matlamat pemikiran tradisional ialah membuat penilaian, bukan menerbitkan idea. Ia khusyuk dengan aktiviti `mencari’ bukan `mencipta.’ Ia khusyuk dengan `menganalisis’ dan `menghurai’, bukan `membina’, `membuat’ dan `membolehkan.’ Tayar basikal banyak kegunaannya. Tetapi tayar basikal baik dan berguna apabila digunakan pada basikal. Yang silapnya ialah apabila kita sangka tayar basikal itu sudah cukup untuk semua tujuan. Tayar basikal tidak baik dan tidak berguna apabila yang kita perlukan ialah tayar kereta. Logik Barat pun begitu juga, ia tidak berguna apabila kita perlu mencipta idea-idea baru.

Sistem kemungkinan adalah fasa produktif dalam berfikir. Ia adalah juga fasa generatif dan fasa kreatif. Pemikiran tradisional sangat lemah dalam perkara ini kerana pemikiran tradisional memberi tekanan pada kritikan, analisis, penilaian dan mencari kebenaran. Aktiviti-aktiviti ini tidak bersifat generatif dan kreatif. Orang menyangka ia generatif, tetapi sebenarnya tidak, malah pemikiran tradisional boleh menyekat kreativiti. Pemikiran generatif dan kreatif semestinya mempunyai fungsi kemungkinan. Mesti ada kemungkinan-kemungkinan dan alternatif-alternatif, sebelum ia dapat dinilai betul ataupun salah oleh pemikiran tradisional. Alternatif dan kemungkinan dihasilkan oleh pemikiran paralel.

Logik tradisional batal apabila tidak ada lagi konsep BETUL-SALAH ataupun MASUK-KELUAR. Dalam logik, konsep MUNGKIN, BARANGKALI, BOLEH-JADI, ADA-KALANYA dan WALLAHU-ALAM tidak dapat diterima kerana di dalamnya terdapat kontradiksi. Yang memberi tempat sah pada kontradiksi ialah sistem `kemungkinan.‘Pemikiran paralel menerima kehadiran’kontradiksi’ di mana ia dianggap sebagai `idea-idea paralel.’ Idea-idea yang berkontradiksi tidak dinilai daripada sudut yang mana yang betul ataupun yang mana yang salah, sebagaimana yang berlaku dalam sistem logik Barat.
Dalam pemikiran lateral, selepas idea-idea yang berkontradiksi itu dibentangkan di depan kita, kita tidak bertanya “Adakah idea ini betul?” Sebaliknya, kita bertanya, “Lepas ini, apa kita boleh buat?” Fokus pemikiran paralel ialah merancang tindakan selanjutnya, bukan menilai lalu memilih idea yang dianggap `betul.’ Itulah sebabnya kontradiksi boleh wujud dan berfungsi secara positif dalam sistem kemungkinan tetapi tidak dalam sistem kepastian, kerana dalam sistem kemungkinan kita tidak menggunakan label SALAH-BETUL, HALAL-HARAM, BAIK-BURUK, LURUS-BENGKOK dan seumpamanya.

Dalam logik tradisional, mereka menggunakan kontradiksi bagi menyangkal idea dan melabelkannya sebagai `salah’ dan oleh itu ia perlu ditolak. Apabila kita ada definisi `botol’, kita perlu menilai sama ada sesuatu benda itu `botol’ ataupun `bukan botol.’ Benda itu tidak boleh dikatakan `botol dan bukan botol’ pada waktu yang sama. Jadi, kita tidak boleh berkata “pada pendapat saya, benda ini botol tetapi mungkin juga ia bukan botol”. Itulah sebabnya, apabila kita berkata `mungkin’ ia merosakkan logik.

Sekolah sangat gerun kepada sistem kemungkinan kerana ia takut sistem itu membenarkan segala macam idea yang `karut’ datang daripada para pelajar. Kalau pelajar-pelajar itu ditanya, “Katakan kamu tersangkut di atas pokok tinggi, bagaimana kamu hendak turun?” Sekiranya mereka menjawab, “Panggil Superman” adakah guru patut menerima jawapan seperti itu? Kanak-kanak memang tahu adanya dunia realiti dan adanya dunia fantasi. Guru-gurulah yang selalu menyangka kanak-kanak tidak tahu akan hal itu. Sebenarnya kanak-kanak tahu adanya kemungkinan-kemungkinan yang realiti dan kemungkinan-kemungkinan yang fantasi sahaja.

Konflik berlaku kerana sistem kepastian tidak dapat menerima kontradiksi. Tradisi logik hanya kenal dua kemungkinan iaitu `Kalau tidak BETUL, tentu SALAH.’ Konflik berlaku apabila ada kontradiksi di mana kedua-dua pihak mendakwa dirinya betul manakala pihak lawan salah. Jadi, tidak mungkin seseorang itu betul dan salah serentak. Kalau seseorang itu betul, dia tidak mungkin salah. Inilah sangkaan yang menyebabkan berlakunya konflik. Logik Barat tidak dapat menerima bahawa ada kemungkinan kedua-dua belah pihak sama-sama betul dan sama-sama salah. Logik tradisional menilai siapa yang betul. Pihak yang tidak betul tentulah pihak yang salah. Amalan berfikir cara logik Barat ini sangat meluas. Dalam perbualan sehari-hari pun kita dapat mendengar orang bercakap dengan maksud `sesuai’ ataupun `tidak pernah’:“Ahli politik kotor”.“Lelaki tidak boleh dipercayai”.“Peniaga semuanya menipu”.“Perempuan menang begitu”.“Manusia perlukan wang”.“Cinta itu buta”.

Menurut de Bono, ada dua jenis soalan, iaitu soalan `menembak’, dan soalan `memancing.‘Apabila pemburu menembak, dia memang tahu dengan tepat apa yang dituju. Sasaran peluru itu sudah awal-awal lagi diketahui. Hasil tembakan itu ada dua: mengena ataupun tidak mengena. Kedua-dua kemungkinan itu pun sudah diketahui sebelum dia menembak. Jadi, bagi soalan-soalan menembak, jawapannya sudah diketahui lebih awal.

“Sekarang bulan apa?”

“Bilakah Portugis datang ke Melaka?”

“Adakah Vietnam anggota ASEAN?”

Orang yang bertanya soalan-soalan di atas hendak tahu jawapan yang betul. Soalan memancing lain. Si pengail meletakkan umpan pada mata kailnya dan menunggu apa yang akan terjadi pada umpan itu. Dia tidak tahu apa yang ditujunya dengan tepat. Dia bukan hendak tahu ikan yang betul. Dia cuma mengagak di situ ada ikan yang diharap akan memakan umpannya. Tetapi dia tidak tahu daripada awal-awal lagi apa hasilnya.“Kalau Hang Nadim tidak dibunuh apakah yang akan terjadi padanya?”“Ada berapa cara memasak ikan?”“Apakah kegunaan-kegunaan guli.“Dapatkah kita merebut semula piala Thomas?”

Soalan-soalan itu tidak dapat dijawab dengan YA-TIDAK ataupun SALAH-BETUL. Ia tidak boleh dijawab dengan satu jawapan yang tepat.Selama ini kita dilatih supaya jangan berfikir secara kabur. Kabur bererti sesuatu itu boleh ditafsir dengan berbagai cara. Pemikiran yang kabur boleh menimbulkan dua masalah iaitu (i) orang jadi keliru dan (ii) komunikasi jadi tidak tepat, iaitu lain yang diarahkan, lain yang dibuat. Di sekolah, semua soalan yang diberikan kepada kita hanya mempunyai satu sahaja jawapan yang betul, dan kita dilatih mencari jawapan yang satu itu.

Jawapan-jawapan yang lain adalah salah. Oleh yang demi-kian,tabiat berfikir yang ditanamkan di sekolah terbawa-bawa ke dalam dunia kerjaya dan kehidupan kita. Berlainan dengan apa yang diajarkan kepada kita sewaktu di sekolah, kekaburan ialah ciri pemikiran kreatif, di mana kita percaya setiap masalah boleh difahami dengan berbagai-bagai cara dan memerlukan pelbagai jawapan yang semuanya betul belaka.

Di dalam kreativiti seseorang itu sengaja berfikir bagi men-cari kekaburan. Malah dia mempunyai teknik-teknik khusus bagi membangkitkan pemikiran yang kabur kerana kekaburan mempunyai daya bagi merangsang imaginasi. Salah satu fasa dalam proses pemikiran kreatif ialah fasa imaginatif. Di dalam fasa ini otak kita cuba mencipta kekaburan dengan bertanya soalan-soalan seperti:Apa halnya ni?Apa ertinya ni?Ada ataupun tidak penjelasan lain?

Soalan-soalan ini ditanyakan sewaktu seseorang itu mencari-cari tafsiran-tafsiran baru dan idea-idea baru. Oleh itu salah satu cara bagi memahami perkara yang sama dengan mengguna-kan sudut-sudut baru ialah dengan melihat perkara itu secara yang kabur. Sebagai contoh, kalau orang bertanya, “Berapa separuh lapan?” Salah satu jawapannya ialah 4. Tetapi kalau kita fahami soalan itu secara kabur kita boleh mendapat jawapan-jawapan lain, umpamanya 0,3 dan mungkin juga `lap.’ Jawapan-jawapan itu dihasilkan oleh bagaimana kita mentafsir perkataan `separuh.’

Lawan kekaburan ialah ketepatan. Seseorang itu perlu berfikir dengan tepat kerana masalah komunikasi. Berfikir dengan tepat adalah penting di dalam situasi-situasi praktikal. Dalam keadaan itu, kalau orang salah faham, kesannya boleh menyebabkan bahaya besar. Sebagai contoh, seorang doktor yang memberi ubat pada pesakit mesti memberi penerangan tepat bagaimana ubat itu sepatutnya digunakan. Sebaliknya dalam situasi imaginatif, arahan-arahan yang tepat akan mencekik daya imaginasi. Sebagai contoh, kalau doktor yang sama meminta kita supaya menghias ruang menunggu di kliniknya, dan beliau memberi arahan-arahan terperinci sehinggalah di mana gambar-gambar mesti digantung, dia tidak memberi kita peluang bagi menggunakan daya imaginasi kita. Tetapi jikalau dia memberi arahan yang am dan kabur, maka kita ada ruang bagi berfikir secara kreatif. Kekaburan perlu pada fasa berfikir yang melibatkan proses mencari-cari persepsi baru, konsep baru, sudut pandangan baru dan idea-idea baru. Pemikiran yang tepat perlu semasa membuat penilaian dan pelaksanaan.

Kalau saudara menerima pendidikan yang mengamalkan sistem pemikiran tradisional berdasarkan ajaran Socrates, Plato dan Aristotle, saudara yakin sistem itu sudah serba lengkap bagi membolehkan saudara berfikir dengan berkesan. Saudara percaya sistem itu serba komprehensif dan sempurna. Saudara juga yakin dunia hari ini berkembang jadi begini berkat manusia moden menggunakan sistem pemikiran tersebut. Tetapi dunia hari ini semakin deras mengalami perubahan. Sistem pemikiran tradisional bukanlah sistem yang dicipta bagi menangani perubahan, apatah lagi bagi mencipta perubahan.
Sistem pemikiran tradisional tidak pernah dicipta oleh Socrates, Plato dan Aristotle sebagai alat mencipta perubahan. Sistem itu serba tidak lengkap bagi menangani dunia sekarang. Malah sistem itu berbahaya. Sistem itu menolak perubahan. Matlamat sistem pemikiran tradisional ialah mencari dan menemui kebenar-an. Ia adalah ibarat kegiatan mencari dan berjumpa dengan emas yang dicari. Sebaliknya pemikiran lateral dan pemikiran paralel bertujuan mencipta desain dan penciptaan. Ia adalah ibarat kegiatan mencipta dan membina sebuah rumah. Antara aktiviti mencari dan menjumpai emas dengan mencipta dan membina rumah terdapat banyak perbezaan. Emas memang sudah ada di situ. Ia menanti untuk dijumpai. Tetapi rumah mesti dibuat, baru ia ada.Pemikiran tradisional sangat taksub dengan kegiatan membuat penilaian dan menjatuhkan hukuman SALAH-BETUL, YA-TIDAK dan HITAM-PUTIH. Pemikiran lateral dan paralel tidak menilai ataupun menghukum. Ia dapat menerima segala kemungkinan. Pemikiran tradisional menggunakan logik batu dan berfokus pada `apa?’ dan `ialah.’ Pemikiran lateral dan paralel menggunakan aliran logik air dan berfokus pada `ke mana?’ dan `kepada.’

Pemikiran tradisional menggunakan kotak-kotak penilaian yang tepat dan keras. Ia menggunakan definisi-definisi dan kategori-kategori. Ia tidak lentur. Pemikiran lateral dan paralel menggunakan sempadan-sempadan yang lembut dan lentur oleh itu ia menerima pertindanan dan pertentangan. Pemikiran tradisional mencipta pelbagai dikotomi dan kontradisi kerana ia mahu supaya kita membuat penilaian dan keputusan serta pemilihan. Pemikiran lateral dan paralel boleh menerima apa-apa juga kontradiksi kerana ia dapat digunakan bagi mencipta arah-arah fikiran yang maju ke depan. Pemikiran tradisional yakin bahawa kita cuma memerlukan adanya maklumat dan kemudian membuat penilaian ke atas maklumat itu. Pemikiran lateral dan paralel dengan sengaja menerbitkan pelbagai idea dan konsep-konsep baru.
Pemikiran tradisional terlalu banyak menggunakan kritikan kerana ia yakin dengan membuang mana-mana bahagian yang salah, yang masih tinggal ialah yang betul. Ia ibarat meng-gunakan sabun bagi membuang kotoran. Selepas semua kotoran itu dibuang yang tinggal ialah kain yang bersih. Pemikiran lateral dan paralel menggunakan pelbagai alat bagi mencipta pelbagai idea yang bagus-bagus. Pemikiran tradisional meng-gunakan perbahasan, pertikaian dan penafian bagi mengupas sesuatu isu. Pemikiran lateral dan paralel menggunakan teknik-teknik berfikir yang bersifat selari dan bekerjasama.

 

Logik Baru

Logik tradisional adalah berdasarkan definisi, oleh itu logik tradisional sangat mementingkan `apa’ dan `ialah.’ Yang di-definisikan ialah apa yang kita cari. Apabila kita sudah men-dapat definisi itu kita gunakan definisi tersebut bagi `menilai’ apakah sesuatu itu serupa dengan definisi tersebut. Logik air berbeza daripada logik tradisional. Logik air ialah logik persepsi. Ia tidak bergantung pada definisi-definisi yang sudah awal-awal lagi dicipta bagi membuat persepsi. Definisi-definisi itu datang dari luar. Kemudian kita gunakan bagi memahami maklumat yang ada di depan kita. Dalam logik tradisional, definisi-definisi itu berfungsi menjadi `kotak-kotak’ dalam otak kita. Logik air ialah logik `ke’ dan `destinasi’

“Idea ini ke mana hasilnya?”

“Selepas ini apa?”

“Apa kesannya nanti?”

“Ke mana idea ini akan bawa kita?”

“Apa yang terjadi?”

Logik air ialah logik `gerak.’ Ia logik `arah.’ Ia bukan logik pe-nilaian. Ia bukan logik BETUL ataupun SALAH. Itu logik tradisional. Logik air tidak berminat menjawab pertanyaan `Apa?’ Ia berminat menjawab pertanyaan `Ke mana?’ Seseorang itu menggunakan logik air bagi mencari persepsi-persepsi baru, konsep-konsep baru dan idea-idea baru berkenaan alam ini. Logik air membolehkan kita melihat `gambar-gambar’ baru daripada maklumat-maklumat lama.

“Saya nampak sesuatu yang baru.”

“Ini ada idea baru.”

“Saya tak pernah melihat cara begini.”

“Ini konsep yang belum pernah saya dengar.”

Apabila seseorang itu sudah dapat berhenti daripada `menilai’ barulah dia dapat mula `bergerak.’ Apabila dia dapat `melihat’ yang baru, barulah dia nampak bagaimana ia dapat digunakan dan apa faedahnya. Apabila seseorang itu berfikir meng-gunakan logik air, otaknya tidak berminat mencari `kebenaran.’ Sebaliknya dia berminat menggunakan apa-apa maklumat yang ada bagi mencipta pelbagai `desain’ dan menghasilkan tindakan-tindakan dan idea-idea baru. Maklumat-maklumat yang ada akan menyusun dirinya sendiri dalam minda bagi menerbitkan ‘gambar-gambar’ baru.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0

Your Cart

%d bloggers like this: